Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon
mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka.
Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU
Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan
pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami
tidak mencukupi’
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk
pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1
tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.
9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah
pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun,
lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan
mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah
petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang
belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah
tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar
berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.
10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami
lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual.
Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan
tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang
dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar
kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap
tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang
ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan
suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita
berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati
dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang
mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah
keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol
air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja.
Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang
menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela
lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan
bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum
air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di
atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2
melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana
ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di
merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri
menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan
Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib Canselor,
memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh.
Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan
pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang
tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami
perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya
oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang
menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas
ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini
menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan
saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan
pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.
13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit
kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan
kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang
patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu
berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air
di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan
kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak
lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH
YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut
perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui
DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang
memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan
sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha
berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib
Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.
Takada rahsia lagi. Dia dah
tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya,
saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya.
Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa
mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah
boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk
digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah
masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.
Malam itu, sedang saya
membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara
seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua atau tiga kali dari
arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana
pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2.
Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh
jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah
siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’
14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar
demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin
memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di
saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila
pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera
bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan
menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran
kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak
selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan
kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh
keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami
berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2.
Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap
cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat
dr situasi bahaya. Stabil.
Bila dah tenang, Hajar
bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan
Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia
sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa
hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn
selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang
sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka
berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami
saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar,
dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”.
Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada
jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa
senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam
tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu
sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik.
Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula,
terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung
tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan
kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang
dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak
bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan
kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi.
Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan
berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun
gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba
ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget -
masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade
bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya.
Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang
sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa
sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi
ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan
paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat
je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya.
Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum.
Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade
bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong
akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam
air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah”
Macam mana ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan
ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan
sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki
ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu
hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya
bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya
bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu.
Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih
arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah
tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.
Bila Doktor pelatih datang
untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun
tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil
darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil,
Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu,
tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati
mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi
Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.
16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya
dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak
dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia
terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2
muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana
muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi…
dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang
takada pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh
ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti
siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab
“Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia
untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central.
Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg
terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak
cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg
sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang
bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar,
Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah
hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit,
kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak
terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis.
Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak
mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak,
kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan
untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia
akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia.
Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman
takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan
berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar
dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.
Walaupun perbualan itu amat
menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata”
Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau
Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak
akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah,
besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak
sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak
ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan
agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan
memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2
dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya
dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu.
Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke
rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah
tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh
keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui
muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar
sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik
sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah
bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah
menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.
17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu
pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus.
Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor
semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke
anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada
Allah menentukan yang terbaik untuknya.
Selepas waktu melawat
tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan
pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui
hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan
dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu
diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan
juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn
bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi
air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut
pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .
Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..”
“memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu
pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati,
saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau
melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula
rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan
terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak
nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya
beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak
tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :”
Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila
dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar
pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur.
Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam
termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak
nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang
tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia
dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya
talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak
menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng
oksigen,dan menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya
tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke
ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar
ke ICU okid.
Hajar segera dibius dan
getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan
mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata
kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.
18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air
yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah
bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar
berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga,
Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya
terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan
tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang
belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat
digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin
pernafasan yg bekerja lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di paparan
skrin tu terasa semacam gimik.
19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus
mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk
mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar
diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula.
Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk
ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami
buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu
solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui
pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami
benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon
pertolongan dan petunjuk.
Belumpun sempat selesai
pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar
yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau
lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan
boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan
meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami?
Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak
boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil.
Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis.
Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh
berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami
perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci
darah dijalankan kerana risikonya besar.
Tak lama lepas tu, pakar
usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan
besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah?
Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai
selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN
BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami
iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga
tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan
berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?”
Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya
redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan
dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu
seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau
Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan
tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama
kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus
mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa
kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua.
Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh
sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya
untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk
dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon
bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20
pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang
dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih
menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah
meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan
kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia
terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA
ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha
Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.
Siti Hajar selamat
dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat,
pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan
terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh
alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang
mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,(
tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang
jujur menyayanginya
SITI HAJAR
Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah "
No comments:
Post a Comment